Semangat Kejiranan
Assalamualaikum
dan salam sejahtera. Kali ini saya nak kongsikan cerita berkenaan dengan
semangat kejiranan. Hidup bermasyarakat merupakan tuntutan semula jadi dan
menjadi keperluan kepada manusia. Oleh itu timbullah keinginan nurani untuk
hidup berjiran dan bergaul bagi mencapai kegembiraan hidup. Jiran merupakan
orang yang paling dekat dengan diri kita. Dalam Islam, jiran ini ialah orang
yang tinggal berdekatan dengan kita hingga 40 buah rumah dari setiap penjuru. Bagi
menjamin keharmonian awam, menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga
merupakan amalan yang mulia malahan dituntut dalam setiap agama.
Situasi
yang berlaku kini adalah, semangat kejiranan pada hari ini yang semakin pudar. Hubungan
kemasyarakatan yang renggang ini ada kaitannya dengan sikap masyarakat hari ini
yang lebih cenderung untuk hidup bersendirian tanpa gangguan orang lain. Malahan,
terdapat tanggapan bahawa kemewahan yang dikecapi sudah cukup bagi mereka untuk
menjalani kehidupan tanpa perlu bergantung pada orang lain. Masyarakat sekarang
ibarat ‘ enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.
Jadi
dapat saya simpulkan, kita sebenarnya tidak boleh memandang ringan perkara ini.
Kita seharusnya mengeratkan lagi tali persaudaraan kita, bukan menjarakkan
hubungan ini. Banyak implikasi buruk jika kita tidak mengenal siapa jiran kita,
hal ini kerana, jika kita dalam kesusahan, jiranlah orang yang paling hampir
untuk memberikan bantuan. Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka,
dengki dan fitnah terhadap jiran perlulah dijauhi. Jika kita semua memberi
kerjasama dalam hal ini, pastinya hidup kita akan lebih aman dan sentiasa
gembira dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment