Wednesday, 17 October 2012

Fenomena Latah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu lagi kita dalam fikiran seterusnya. Masih berkisarkan masyarakat Melayu kita, kali ini saya ingin berkongsi cerita tentang budaya atau penyakit latah. Selalunya dalam masyarakat Melayu, melatah ini menjadi satu kebiasaan. Kadangkala menjadi hiburan tetapi boleh juga membawa kepada keburukan. Saya sendiri banyak menemui situasi latah ini dalam masyarakat sekeliling. Lazimnya, latah ini banyak terjadi dalam kalangan wanita yang agak berusia, namun ada juga yang berlaku dalam kalangan wanita muda juga lelaki.

Mendalami tentang masalah latah ini, mari kita tinjau lebih dekat tentang definisi, asal-usul latah dan sebagainya. Sumber ini saya perolehi dari internet dan tidak ada salahnya berkongsi maklumat.

 Melatah didefinisikan sebagai satu fenomena tingkah laku dikaitkan dengan kaum tertentu di Asia Tenggara khususnya kaum Melayu. Berlaku kebanyakannya di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Singapura dan Indonesia, tingkah laku melatah ini dikatakan tidak ketara (mungkin ada) di negara-negara Eropah kerana tidak 'digalakkan' oleh masyarakatnya. Ini kerana bagi mereka fenomena tersebut dianggap pelik atau seperti satu jenis penyakit.

Tingkah laku melatah bukan satu perbuatan yang dibuat-buat, sebaliknya, ia berlaku spontan kerana sudah tertanam dalam diri individu berkenaan. Namun sekiranya pada permulaan seseorang itu melakukannya secara berulang kali, lama-lama ia akan menjadi satu kebiasaan iaitu tingkah laku yang akan dilakukan berulangan.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, individu yang melatah suatu waktu dahulu (kira-kira 20 hingga 30 tahun sebelum ini) khususnya di negara ini, mereka menjadi tumpuan hiburan terutama di majlis-majlis keramaian.

"Individu yang melatah suatu waktu dahulu boleh dijadikan sebagai 'kerjaya' kerana mereka diundang ke majlis-majlis untuk memeriahkan suasana keraian.

"Mereka diundang atas fungsi tertentu dan ada peranan dalam masyarakat sebagai penghibur, khususnya di kawasan luar bandar," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr. Daniel Zainal berkata, fenomena melatah ini dari segi statistiknya melibatkan 80 hingga 90 peratus daripadanya adalah golongan wanita yang telah agak berumur.
Katanya, dari segi aspek psikologi, orang melatah ini sebenarnya ada ciri personaliti tertentu iaitu neurotik.

"Biasanya dari aspek peribadi, individu yang suka mendapat perhatian dan menonjolkan diri seperti terlibat dalam bidang seni adalah antara mereka yang suka melatah.

"Selain itu mereka yang tergolong dalam perlakuan ini dianggap mempunyai personaliti yang celaru, resah atau darah gemuruh, cepat terkejut dan lemah semangat (easily hyperstartle response) termasuk apabila melihat berita yang menggerunkan serta mudah 
mendapat serangan panik (panic attack)," katanya.

Melatah juga katanya, dikaitkan dengan faktor genetik turun-temurun dalam keluarga kerana ia ada unsur berjangkit.Mungkin bukan daripada ibu atau bapa yang melatah tetapi pak cik atau mak cik yang melatah juga dapat dijangkiti oleh anak saudara mahupun cucu mereka.

Ahli keluarga terdedah kepada tingkah laku melatah sekiranya mereka berdepan dengan masalah psikologi. Ia juga boleh dikaitkan dengan aspek keturunan dan persekitaran yang mendorong kepada berlakunya keresahan, kesedihan dan kecenderungan mewarisi personaliti cepat gemuruh.

Menurut Dr. Daniel Zainal, perilaku melatah sepatutnya tidak lagi digalakkan dalam masyarakat sekarang kerana ia boleh menjejaskan harga diri si pelatah. Malah ketika situasi latah sedang berlaku, orang di sekeliling boleh meredakan si pelatah dengan menenangkan dirinya.

Caranya ialah dengan menampar bahu si pelatah lalu mengajarnya mengucap dan beristighfar beberapa kali sehingga fikirannya kembali tenang dan tenteram.

"Orang melatah ini sebenarnya tidak suka dijadikan bahan ketawa dan ia boleh menyebabkan mereka rasa tertekan. Orang melatah akan memberi hiburan kepada orang lain tetapi pada dirinya ia rasa tidak elok, selain mengundang panik di kalangan awam dan menyebabkan kejatuhan harga diri," katanya.

Dari aspek pengurusan katanya, jangan galakkan ahli keluarga mengusik individu yang ada ciri-ciri melatah jika mereka tahu seseorang itu berpotensi untuk melatah.
Juga jangan tambah usikan berkenaan sekiranya si pelatah sedang melatah sehingga menyebabkan proses berkenaan berlarutan.

Jelas Dr. Daniel Zainal, tiada sebarang ubat untuk merawat latah, namun ia boleh dikawal menerusi sesi kaunseling psikoterapi perkara-perkara yang boleh menjadi pencetus kepada latah yang berhubung dari aspek kognitif dan tingkah laku.

"Ketika melatah, individu ini seolah-olah terpisah dari alam sekeliling, tidak sedar apa yang berlaku yang membentuk keadaan trance state (di bawah sedar). Pada ketika ini tahap kesedarannya amat rendah bagaikan bermimpi, ralit atau seolah-olah dipukau seperti yang berlaku pada pengangkat kavadi ketika Thaipusam, pemain wayang kulit, penari kuda kepang dan sebagainya," katanya.

Menurut Dr. Daniel Zainal lagi, individu yang melatah boleh menggunakan cara hipnosis untuk menyelami keadaan di bawah sedarnya yang menyebabkan punca-punca berlakunya latah.

" Minda manusia terdiri daripada pemikiran sedar (12 peratus) dan pemikiran di bawah sedar (88 peratus). Justeru kaedah hipnosis ini akan mencungkil kisah lalu pengalaman di bawah sedarnya yang mempengaruhi tabiat melatahnya.
"Ini kerana emosi seseorang dipengaruhi dengan apa yang berlaku kepada individu tersebut lama dahulu, ia seolah-olah data yang tersimpan dalam pemikiran minda tidak sedar," katanya.

Menurut beliau, individu yang melatah ini juga perlu belajar teknik pernafasan yang betul seperti senaman yoga atau berzikir untuk menangani masalah ini.
Namun katanya, fenomena melatah ini semakin berkurangan di negara ini khususnya di majlis-majlis keraian kerana persekitaran yang masyarakat tidak lagi menggalakkan perlakuan berkenaan.

"Ramai masyarakat sekarang sudah tidak 'menggalakkan' perlakuan melatah ini. Sekiranya mereka tahu individu berkenaan melatah, mereka tidak akan cuba mengusiknya.
"Bahkan generasi muda mungkin ramai yang tidak tahu apa itu melatah kerana sudah jarang terlihat dalam masyarakat sekarang," katanya Dr. Daniel. - Rosmah Dain




No comments:

Post a Comment