Tuesday, 6 November 2012

RAMAH MESRA AMALAN MULIA
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya nak kongsiakan sedikit cerita berkenaan dengan sifat ramah mesra. Bukan apa, Baru-baru ini, semasa mahu pulang ke Tanjung Malim setelah cuti pertengahan semester tamat, saya dapat berkenalan dengan seorang kawan di dalam kereta api. Puncanya dari sapaan untuk menjadi ramah. Alhamdulillah, banyak ilmu yang dapat kami kongsikan.
Ketahuilah bahawa setiap orang seharusnya memiliki sifat ramah dan mesra terutamanya dalam pergaulan seharian kerana ia boleh mengeratkan lagi silaturahim di antara seseorang dengan seseorang yang lain. Di samping itu, setiap orang juga akan berasa lebih gembira dan selesa apabila berbual dengan seseorang yang ramah dan mesra. Sebenarnya, sifat ramah-tamah dan mesra berpunca daripada hati. Jika hati seseorang itu bersih dan suci pastinya akan lahirlah sifat mulia ini. Sebaliknya jiwa yang kotor akan melahirkan sifat sombong dalam pergaulan seharian. Setiap orang mestilah mempraktikkan kedua-dua sifat mulia ini, di antaranya ialah:
 1. Ibu bapa mesti menunjukkan sifat ramah dan mesra ketika melayan dan bergaul dengan anak-anak terutamanya untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sememangnya telah sedia wujud.
 2. Sentiasa melayani tetamu, jiran tetangga dan seumpamanya dengan sifat ramah-tamah dan perbualan yang boleh menimbulkan kemesraan serta merapatkan silaturahim.
3. Menunjukkan muka yang manis atau sentiasa tersenyum apabila berjumpa dengan seseorang sama ada yang dikenali atau tidak.
 4. Memulakan sesuatu perbualan yang boleh membuatkan seseorang berasa lebih selesa untuk berbual dengan kita.
 5. Jangan mengata sesuatu yang boleh menyinggung atau membuat seseorang berkecil hati.
Semoga kita dapat mewujudkan sifat mulia ini dalam diri. Jangan takut untuk menyapa orang. Jangan mengharap orang untuk menyapa kita terlebih dahulu untuk memulakan perbualan, sebaliknya kita perlu menyapa orang secara hikmah dan bijaksana.

Sunday, 4 November 2012


DRAMA & ANIMASI
Assalamualaikum. Antara filem atau animasi dengan drama Melayu, yang manakah menggunakan bahasa Melayu dengan lebih baik? Itu satu persoalan yang ingin saya kupas pada ruangan kali ini. Saya pernah melihat cerita-cerita animasi seperti ‘Upin Ipin’, ‘Anak-anak Sidek’ , ‘Boboboi’ dan banyak lagi animasi Melayu. Animasi ini bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu yang baik iaitu sama ada dari struktur ayat mahupun penggunaan bahasa Melayu yang lebih baik berbanding drama Melayu yang selalu disiarkan di televisyen. Lazimnya dalam drama Melayu banyak menggunakan bahasa rojak, dan bahasa campuran kod. Perkara sebegini akan menjadi ikutan pada masyarakat. Sebab itulah fenomena kini banyak menggunakan bahasa rojak. Lama-kelamaan, bahasa Melayu akan rosak. Kualiti bahasa Melayu akan terjejas kerana penggunaan bahasa rojak ini.

Penggunaan media masa adalah meluas, maka, pengaruhnya juga cukup besar. Sekiranya banyak drama Melayu yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan baik, keadaan ini akan mempengaruhi masyarakat kita. Ambillah contoh daripada animasi Melayu kita, menggunakan bahasa dengan lebih baik dan jelas kosa katanya. Walaupun ia kelihatan kebudak-budakkan, tetapi nilai atau sistem bahasa yang digunakan jauh lebih baik dari drama-drama televisyen kita.     
SOPAN ITU CANTIK
Assalamualaikum. Kali ini saya nak kongsikan cerita berkaitan dengan apa yang telah berlaku ke atas diri saya sendiri. sebelum ini cerita sebegini saya hanya dengar dari orang lain atau hanya aksi-aksi dalam lakonan television sahaja. Cerita apa ya? Haa.. cerita apabila gadis Melayu yang ‘mengorat’ lelaki. Ceritanya bermula apabila saya menolong ibu memasukkan barang ke dalam kereta, kemudian semasa hendak memulangkan ‘troli’ yang digunakan semula ke ‘supermarket’ tersebut di bahu jalan ada sebuah kereta yang dipandu oleh seorang perempuan dan ditemani 3 orang rakannya yang lain di dalam kereta tersebut. Pakaiannya sungguh terdedah, kemudian lalu di hadapan saya sambil ‘piiiiiiwittttttt’ sambil melambai tangan mengata ‘haiiiiiiiiiiiiiiiiiiii’. Saya tidak takut, tapi saya tertanya sendiri, ada juga orang begitu ya… sepanjang perjalanan saya ketawa melihat telatah tersebut, bukan suka, tetapi saya tidak sangka bahawa saya juga menjadi mangsa.
Jika kita berfikir secara waras, sifat semula jadi wanita ini ialah mereka pemalu dan pandai menjaga adab. Itu orang dahulu, tapi kini sifat malu itu mula terhakis, sebab itulah perkara sedemikian boleh terjadi. Kenapa sikap sopan santun itu sudah hilang? Banyak faktornya, salah satu ialah didikan agama dan penghayatan agama. Semoga masalah ini dapat diatasi oleh masyarakat kita. Fikir-fikirkanlah apa yang akan terjadi jika perkara sebegini tidak dibendung. 

Saturday, 20 October 2012

Semangat Kejiranan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya nak kongsikan cerita berkenaan dengan semangat kejiranan. Hidup bermasyarakat merupakan tuntutan semula jadi dan menjadi keperluan kepada manusia. Oleh itu timbullah keinginan nurani untuk hidup berjiran dan bergaul bagi mencapai kegembiraan hidup. Jiran merupakan orang yang paling dekat dengan diri kita. Dalam Islam, jiran ini ialah orang yang tinggal berdekatan dengan kita hingga 40 buah rumah dari setiap penjuru. Bagi menjamin keharmonian awam, menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga merupakan amalan yang mulia malahan dituntut dalam setiap agama.
            Situasi yang berlaku kini adalah, semangat kejiranan pada hari ini yang semakin pudar. Hubungan kemasyarakatan yang renggang ini ada kaitannya dengan sikap masyarakat hari ini yang lebih cenderung untuk hidup bersendirian tanpa gangguan orang lain. Malahan, terdapat tanggapan bahawa kemewahan yang dikecapi sudah cukup bagi mereka untuk menjalani kehidupan tanpa perlu bergantung pada orang lain. Masyarakat sekarang ibarat ‘ enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.
            Jadi dapat saya simpulkan, kita sebenarnya tidak boleh memandang ringan perkara ini. Kita seharusnya mengeratkan lagi tali persaudaraan kita, bukan menjarakkan hubungan ini. Banyak implikasi buruk jika kita tidak mengenal siapa jiran kita, hal ini kerana, jika kita dalam kesusahan, jiranlah orang yang paling hampir untuk memberikan bantuan. Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, dengki dan fitnah terhadap jiran perlulah dijauhi. Jika kita semua memberi kerjasama dalam hal ini, pastinya hidup kita akan lebih aman dan sentiasa gembira dalam masyarakat.

Friday, 19 October 2012

alam siber

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya nak bincangkan tentang alam maya. Hah, maya yang macam mana tu? Haaa… Begini, sebagaimana yang kita sedia maklum, kini kita berada dalam zaman moden. Macam-macam teknologi yang kita telah kecapi. Salah satunya melayari dunia tanpa sempadan iaitu melalui internet, dengan menggunakan internet juga kita boleh bersosial contohnya melalui laman-laman sosial seperti “facebook”, “yahoo masanger”. “skype”, “my space”, “tweeter” dan banyak lagi laman sosial.
Isu kali ini saya mahu bincangkan tentang apakah kebaikan dan keburukan mengguanakan “Facebook”;
Ini antara kebaikan menggunakan Facebook;

1.      Menyampaikan maklumat/aktiviti kepada kawan-kawan dengan mudah dan cepat.
2.      Berkongsi cerita, minat, hobi untuk kebaikan.
3.      Berkongsi perniagaan dan kejayaan.
4.      Menambah kenalan tanpa mengira bangsa, negara dan agama.


Itu antara kebaikannya.. Sebenarnya banyak juga kebaikan jika kita pandai menggunakannya dengan betul. Namun , ada juga keburukan Facebook ini, seperti berikut;

1.      Penceraian alam siber
2.      Pergaduhan alam siber
3.      Caci maki perkataan berbaur lucah
4.      Penipuan
5.      Melalaikan masa
6.      Jenayah

Dan, banyak lagi sebenarnya. Jadi, bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, kita mestilah pandai menggunakan teknologi ini.



ibu dan ibu pejabat
Assalamualaikum dan salam sejahtera. “Ibu, emak, bonda, umi, mak, mama” adalah beberapa kata nama yang digunakan sebagai kata ganti nama diri yang merujuk kepada seorang ibu iaitu ibu yang melahirkan anak. Semua kata itu sering digunakan dalam masyarakat kita kini. Walaupun terdapat perbezaan dari segi kata, namun tidak ada perbezaan pun dari segi maksudnya. Contoh ayat yang menggunakan perkataan di atas ;

1.      Ibu saya bernama Fatimah.

2.      “Emak, boleh tak saya bermain?” kata Arif kepada ibunya.

3.      Bonda saya telah ke Haji seminggu yang lalu.

4.      Umi , adik lapar.

 Kesemua ayat di atas menggunakan kata ganti nama yang berbeza, tetapi ia membawa maksud yang sama iaitu merujuk kepada seorang ibu. Tetapi, kata ini juga perlu mengikut kegramatisan dan struktur ayat. Misalnya; kita tidak boleh menggantikan perkataan ibu pejabat dengan emak pejabat ataupun bonda pejabat. Sebagai contoh;

1.      Emak pejabat polis terletak kira-kira 2km dari sini.

2.      Bonda pejabat pos di sebelah utara.

Perkataan di atas perlu menggunakan ibu pejabat, barulah struktur ayatnya menjadi gramatis. Apa perkaitannya dengan sosiolinguistik? Mudah sahaja, pastikan tidak berlakunya kesalahan kata seperti ini dalam masyarakat. Zaman sekarang, kita mudah-mudah sahaja mempermainkan bahasa. 

Thursday, 18 October 2012

Patuhi Larangan!

Assalamualaikum.. Bertemu lagi kita dalam ruangan seterusnya. Kali ini saya nak ketengahkan tentang satu isu yang sudah lama dan masih tidak dapat dibendung. “Dilarang Membuang Sampah Di Sini” sudah terang-terang terpacak tanda larangan itu, tetapi disitulah orang ramai membuang sampah. Apakah mereka tidak memahami maksud tanda larangan tersebut atau mereka langsung tidak pandai membaca?

Ha, disinilah silap kita. Kita memang tidak suka mengikut peraturan. Ada yang mengatakan, mereka tidak suka hidup mereka ada peraturan, tetapi perlu diingat untuk berjaya, kita perlu mematuhi peraturan. Dalam agama sendiri ada meletakkan peraturan supaya kita berjaya di akhirat sana.

Peraturan-peraturan sebegini moleklah sekiranya kita terapkan dalam diri individu semenjak dari kecil lagi. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Semoga generasi akan datang lebih tahu untuk mematuhi peraturan bukan melanggar peraturan. 

Wednesday, 17 October 2012

Fenomena Latah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu lagi kita dalam fikiran seterusnya. Masih berkisarkan masyarakat Melayu kita, kali ini saya ingin berkongsi cerita tentang budaya atau penyakit latah. Selalunya dalam masyarakat Melayu, melatah ini menjadi satu kebiasaan. Kadangkala menjadi hiburan tetapi boleh juga membawa kepada keburukan. Saya sendiri banyak menemui situasi latah ini dalam masyarakat sekeliling. Lazimnya, latah ini banyak terjadi dalam kalangan wanita yang agak berusia, namun ada juga yang berlaku dalam kalangan wanita muda juga lelaki.

Mendalami tentang masalah latah ini, mari kita tinjau lebih dekat tentang definisi, asal-usul latah dan sebagainya. Sumber ini saya perolehi dari internet dan tidak ada salahnya berkongsi maklumat.

 Melatah didefinisikan sebagai satu fenomena tingkah laku dikaitkan dengan kaum tertentu di Asia Tenggara khususnya kaum Melayu. Berlaku kebanyakannya di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Singapura dan Indonesia, tingkah laku melatah ini dikatakan tidak ketara (mungkin ada) di negara-negara Eropah kerana tidak 'digalakkan' oleh masyarakatnya. Ini kerana bagi mereka fenomena tersebut dianggap pelik atau seperti satu jenis penyakit.

Tingkah laku melatah bukan satu perbuatan yang dibuat-buat, sebaliknya, ia berlaku spontan kerana sudah tertanam dalam diri individu berkenaan. Namun sekiranya pada permulaan seseorang itu melakukannya secara berulang kali, lama-lama ia akan menjadi satu kebiasaan iaitu tingkah laku yang akan dilakukan berulangan.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, individu yang melatah suatu waktu dahulu (kira-kira 20 hingga 30 tahun sebelum ini) khususnya di negara ini, mereka menjadi tumpuan hiburan terutama di majlis-majlis keramaian.

"Individu yang melatah suatu waktu dahulu boleh dijadikan sebagai 'kerjaya' kerana mereka diundang ke majlis-majlis untuk memeriahkan suasana keraian.

"Mereka diundang atas fungsi tertentu dan ada peranan dalam masyarakat sebagai penghibur, khususnya di kawasan luar bandar," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr. Daniel Zainal berkata, fenomena melatah ini dari segi statistiknya melibatkan 80 hingga 90 peratus daripadanya adalah golongan wanita yang telah agak berumur.
Katanya, dari segi aspek psikologi, orang melatah ini sebenarnya ada ciri personaliti tertentu iaitu neurotik.

"Biasanya dari aspek peribadi, individu yang suka mendapat perhatian dan menonjolkan diri seperti terlibat dalam bidang seni adalah antara mereka yang suka melatah.

"Selain itu mereka yang tergolong dalam perlakuan ini dianggap mempunyai personaliti yang celaru, resah atau darah gemuruh, cepat terkejut dan lemah semangat (easily hyperstartle response) termasuk apabila melihat berita yang menggerunkan serta mudah 
mendapat serangan panik (panic attack)," katanya.

Melatah juga katanya, dikaitkan dengan faktor genetik turun-temurun dalam keluarga kerana ia ada unsur berjangkit.Mungkin bukan daripada ibu atau bapa yang melatah tetapi pak cik atau mak cik yang melatah juga dapat dijangkiti oleh anak saudara mahupun cucu mereka.

Ahli keluarga terdedah kepada tingkah laku melatah sekiranya mereka berdepan dengan masalah psikologi. Ia juga boleh dikaitkan dengan aspek keturunan dan persekitaran yang mendorong kepada berlakunya keresahan, kesedihan dan kecenderungan mewarisi personaliti cepat gemuruh.

Menurut Dr. Daniel Zainal, perilaku melatah sepatutnya tidak lagi digalakkan dalam masyarakat sekarang kerana ia boleh menjejaskan harga diri si pelatah. Malah ketika situasi latah sedang berlaku, orang di sekeliling boleh meredakan si pelatah dengan menenangkan dirinya.

Caranya ialah dengan menampar bahu si pelatah lalu mengajarnya mengucap dan beristighfar beberapa kali sehingga fikirannya kembali tenang dan tenteram.

"Orang melatah ini sebenarnya tidak suka dijadikan bahan ketawa dan ia boleh menyebabkan mereka rasa tertekan. Orang melatah akan memberi hiburan kepada orang lain tetapi pada dirinya ia rasa tidak elok, selain mengundang panik di kalangan awam dan menyebabkan kejatuhan harga diri," katanya.

Dari aspek pengurusan katanya, jangan galakkan ahli keluarga mengusik individu yang ada ciri-ciri melatah jika mereka tahu seseorang itu berpotensi untuk melatah.
Juga jangan tambah usikan berkenaan sekiranya si pelatah sedang melatah sehingga menyebabkan proses berkenaan berlarutan.

Jelas Dr. Daniel Zainal, tiada sebarang ubat untuk merawat latah, namun ia boleh dikawal menerusi sesi kaunseling psikoterapi perkara-perkara yang boleh menjadi pencetus kepada latah yang berhubung dari aspek kognitif dan tingkah laku.

"Ketika melatah, individu ini seolah-olah terpisah dari alam sekeliling, tidak sedar apa yang berlaku yang membentuk keadaan trance state (di bawah sedar). Pada ketika ini tahap kesedarannya amat rendah bagaikan bermimpi, ralit atau seolah-olah dipukau seperti yang berlaku pada pengangkat kavadi ketika Thaipusam, pemain wayang kulit, penari kuda kepang dan sebagainya," katanya.

Menurut Dr. Daniel Zainal lagi, individu yang melatah boleh menggunakan cara hipnosis untuk menyelami keadaan di bawah sedarnya yang menyebabkan punca-punca berlakunya latah.

" Minda manusia terdiri daripada pemikiran sedar (12 peratus) dan pemikiran di bawah sedar (88 peratus). Justeru kaedah hipnosis ini akan mencungkil kisah lalu pengalaman di bawah sedarnya yang mempengaruhi tabiat melatahnya.
"Ini kerana emosi seseorang dipengaruhi dengan apa yang berlaku kepada individu tersebut lama dahulu, ia seolah-olah data yang tersimpan dalam pemikiran minda tidak sedar," katanya.

Menurut beliau, individu yang melatah ini juga perlu belajar teknik pernafasan yang betul seperti senaman yoga atau berzikir untuk menangani masalah ini.
Namun katanya, fenomena melatah ini semakin berkurangan di negara ini khususnya di majlis-majlis keraian kerana persekitaran yang masyarakat tidak lagi menggalakkan perlakuan berkenaan.

"Ramai masyarakat sekarang sudah tidak 'menggalakkan' perlakuan melatah ini. Sekiranya mereka tahu individu berkenaan melatah, mereka tidak akan cuba mengusiknya.
"Bahkan generasi muda mungkin ramai yang tidak tahu apa itu melatah kerana sudah jarang terlihat dalam masyarakat sekarang," katanya Dr. Daniel. - Rosmah Dain




Tuesday, 16 October 2012

Diam!



Berkomunikasi dan beramah mesra itu sememangnya bagus, tapi jika tidak kena pada tempat akan menjadi tidak bagus juga. Hmm, kali ini saya nak ketengahkan isu adab kita ketika dalam majlis-majlis ilmu dan sebagainya iaitu apabila ada seseorang yang berucap atau menyampaikan ilmu di hadapan, maka kita seharusnya memberi perhatian.

Perkara ini terlintas di fikiran saya apabila situasi sebegini berlaku semasa persidangan yang telah dijalankan di UPSI sempena pelancaran bulan bahasa Melayu peringkat negeri perak baru-baru ini. Semasa pembentang membentangkan kertas kerja mereka, hanya segelintir sahaja yang menumpukan perhatian tentang apa yang diperkatakan. Sebahagian besar lagi lebih suka untuk bercakap-cakap sesama rakan mereka.
Keadaan ini tidak baik dan tidak seharusnya berlaku. Pertamanya, kita seolah-olah tidak menghormati pembentang. Kedua, akan membuat keadaan bising seterusnya mengganggu konsentrasi peserta lain. keadaan ini seolah-olah telah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Jika dibandingkan dengan masyarakat Jepun misalnya, mereka amat menghormati orang yang bercakap di hadapan dan akan memberi tumpuan sepenuhnya. Perkara sebegini seharusnya dijadikan contoh kepada masyarakat kita iaitu budaya memberi perhatian dan tumpuan dalam majlis-majlis ilmu umumnya. 

Monday, 15 October 2012

Malaysia - Indonesia


Pada 15 hingga 16 Oktober 2012, telah berlangsungnya satu persidangan antarabangsa dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan sempena majlis pelancaran bulan bahsa Melayu peringkat negeri perak 2012. Pelbagai isu bahasa telah dibincangkan. Saya tertari pada satu persidangan yang telah dibentangkan oleh pembentang dari Indonesia. Dalam ayatnya telah menggunakan beberapa bahasa yang mungkin sama bunyinya tapi membawa makna yang berbeza. Contohnya, “bahasa Inggeris tidak pantas untuk di jadikan bahasa dalam majlis formal sebaliknya kita seharusnya menggunakan bahasa Melayu itu sendiri”.  
Dalam contoh ayat di atas tidak banyak perbezaannya dengan bahasa Melayu, Cuma jika diteliti dengan lebih dekat, ada yang berbeza. Bezanya ialah perkataan pantas. Pantas dalam bahasa Melayu membawa maksud laju, cepat atau yang menunjukkan sesuatu kelajuan, tetapi dalam bahasa Indonesia, pantas membawa maksud sesuai , secocok dan yang membawa maksud sedemikian.
Jika kita lihat, perbezaan ini terjadi akibat daripada perbezaan penuturnya. Walaupun Malaysia dan Indonesia masih dalam rumpun yang sama, tetapi banyak juga perbezaan dalam bahasa yang dituturkan oleh penduduknya. Perbezaan ini tidak seharusnya dilihat dari aspek negatif, sebaliknya perbezaan ini seharusnya dijadikan sebagai sesuatu yang boleh dijadikan ilmu berharga.

Thursday, 11 October 2012


MAAF ATAU "SORRY"?


Maaf atau “sorry”? Ya. Memang kedua-duanya membawa maksud yang sama iaitu memohon maaf atas kesalahan sesuatu. Dalam Islam sendiri menyarankan umatnya untuk bermaaf-maafan. Tapi apa yang ingin saya isukan pada kali ini berkaitan dengan penggunaan kata bahasa asing ini iaitu “sorry” yang sudah tidak asing bagi masyarakat kita.




Situasinya, setelah usai menunaikan solat Jumaat, maka para jemaah akan berpusu-pusu untuk pulang. Semasa keluar dari pintu masjid, seseorang telah melanggar saya, kemudian mengucapkan ‘sorry’. Memanglah saya maafkan. Bukannya sengaja. Cuma apa yang ingin saya pertikaikan, kenapa kita tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mohon maaf. Sama sahaja, cuma cakap ‘maaf’. Banggalah dengan bahasa sendiri, cuba anda fikirkan, adakah masyarakat barat sana menggunakan kata dari bahasa Melayu ‘ maaf’ untuk memohon maaf? Tidak. Malah mereka juga tidak tahu apa itu ‘maaf’ kerana mereka hanya menggunakan bahasa mereka dan berbangga dengan bahasa mereka. Begitu juga kita, sepatutnya berbangga dengan bahasa sendiri.
Bahasa Sapaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kawan-kawan pernah dengar tak bahasa sapaan untuk kata ganti nama diri yang acap kali digunakan kini? Senario sekarang, masyarakat sudah jarang guna kata sapaan seperti saudara, encik, anda dan lain-lain lagi. Tahu tak generasi Y kita sekarang guna apa sebagai bahasa sapaan untuk kata ganti nama? Ya, seperti bro, bai, der, sis dan banyak lagi. Apa semua itu, ada ke dalam kosa kata Melayu?
Kenapa saya bangkitkan isu ini? Sebab budak-budak remaja sekarang sudah jadikan bahasa sapaan seperti ini sebagai budaya dalam hidupnya. Cuba fikir kawan-kawan, apa akan terjadi sekiranya perkara ini terus berlarutan? Mungkin masa akan datang, bahasa sapaan Melayu sudah tidak digunakan lagi dan digantikan dengan bahasa sapaan luar dan agak keras bahasanya. Renung-renungkanlah…. 

Wednesday, 10 October 2012

Budaya Minta Izin

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Masih dalam ruang lingkup sosiolinguistik, kali ini saya nak bawa pembaca semua lebih dekat dengan suasana pelajar. Isunya ialah budaya meminta izin untuk keluar kelas.
Dari sekolah rendah lagi, didikan yang kita terima sudah cantik. Guru-guru mengajar kita supaya kalau mahu keluar kelas sama ada ke tandas, ke bilik guru, atau ke mana sahaja mintalah izin terlebih dahulu.

Budaya ini masih diteruskan di sekolah menengah. “cikgu, boleh saya keluar kelas sekejap, saya mahu ke bilik guru untuk hantar buku latihan”, baiklah “kamu pergilah”.. Begitulah antara situasi yang pernah berlaku di sekolah dahulu iaitu budaya meminta izin untuk keluar dari kelas.

Sepatutnya, semakin banyak ilmu yang kita ada, rasa hormat dan budi bahasa kita semakin meningkat, tetapi perkara sebaliknya telah berlaku apabila saya melihat budaya di UPSI sendiri. Pensyarah di hadapan, tetapi pelajar mahu keluar tidak minta izin pun. Hmm, di mana silapnya ya? Fikir-fikirkanlah…  

Tuesday, 9 October 2012

kekeliruan dialek


Kekeliruan Dialek


Assalamualaikum dan salam sejahtera.. Kali ini saya nak kongsikan satu cerita berkenaan dengan dialek pula. Perlu diingat dialek ini tergolong dalam mikrososiolinguistik. Saya ini berasal dari Perak iaitu di Daerah Kerian. Daerah kerian ini berhampiran dengan Pulau Pinang dan Kedah, maka di Daerah Kerian, kami tidak lagi menggunakan dialek Perak sebaliknya menggunakan dialek Utara. Haa, cukuplah sekadar pengetahuan kawan-kawan sebelum saya meneruskan cerita.

Ketika saya baru pulang dari kampus, kawan saya yang berasal dari Terungganu bertanya ‘mu nok beli bit gitar dop?’ . ya saya faham tetapi saya keliru, apa itu bit? Adakah bit itu merupakan alat muzik yang dimain bersama gitar. Ha.. kawan-kawan tahu tak apa itu bit gitar?

Sebelum saya memberi jawapannya, saya ingin menyatakan bahawa perbezaan negeri lazimnya akan berlakunya perbezaan dialek. Kadangkala dialek ini jika digunakan dan disasarkan kepada masyarakat yang sama dengannya keadaan ini akan menunjukkan lagi kemesraannya, sebaliknya jika dialek digunakan dengan orang yang tidak satu daerah dialeknya, maka akan berlaku sedikit kekeliruan. Tapi, ambillah ini sebagai sesuatu yang positif iaitu kita boleh belajar bahasa orang.

Baiklah, apa itu bit? Haaa…. Ini lah bit…. =) 







owh... Beg rupanya.... =)