Tuesday, 6 November 2012

RAMAH MESRA AMALAN MULIA
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya nak kongsiakan sedikit cerita berkenaan dengan sifat ramah mesra. Bukan apa, Baru-baru ini, semasa mahu pulang ke Tanjung Malim setelah cuti pertengahan semester tamat, saya dapat berkenalan dengan seorang kawan di dalam kereta api. Puncanya dari sapaan untuk menjadi ramah. Alhamdulillah, banyak ilmu yang dapat kami kongsikan.
Ketahuilah bahawa setiap orang seharusnya memiliki sifat ramah dan mesra terutamanya dalam pergaulan seharian kerana ia boleh mengeratkan lagi silaturahim di antara seseorang dengan seseorang yang lain. Di samping itu, setiap orang juga akan berasa lebih gembira dan selesa apabila berbual dengan seseorang yang ramah dan mesra. Sebenarnya, sifat ramah-tamah dan mesra berpunca daripada hati. Jika hati seseorang itu bersih dan suci pastinya akan lahirlah sifat mulia ini. Sebaliknya jiwa yang kotor akan melahirkan sifat sombong dalam pergaulan seharian. Setiap orang mestilah mempraktikkan kedua-dua sifat mulia ini, di antaranya ialah:
 1. Ibu bapa mesti menunjukkan sifat ramah dan mesra ketika melayan dan bergaul dengan anak-anak terutamanya untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sememangnya telah sedia wujud.
 2. Sentiasa melayani tetamu, jiran tetangga dan seumpamanya dengan sifat ramah-tamah dan perbualan yang boleh menimbulkan kemesraan serta merapatkan silaturahim.
3. Menunjukkan muka yang manis atau sentiasa tersenyum apabila berjumpa dengan seseorang sama ada yang dikenali atau tidak.
 4. Memulakan sesuatu perbualan yang boleh membuatkan seseorang berasa lebih selesa untuk berbual dengan kita.
 5. Jangan mengata sesuatu yang boleh menyinggung atau membuat seseorang berkecil hati.
Semoga kita dapat mewujudkan sifat mulia ini dalam diri. Jangan takut untuk menyapa orang. Jangan mengharap orang untuk menyapa kita terlebih dahulu untuk memulakan perbualan, sebaliknya kita perlu menyapa orang secara hikmah dan bijaksana.

No comments:

Post a Comment